Assalamualaikum WRWB.
Hanya beberapa minggu lagi, kita akan membuat perjalanan terakhir dari stesen ke ILSAS dengan hanya satu tekad dan tujuan, iaitu menembusi sempadan TT08 ke TT09.
Sejenak, kita berpaling ke belakang untuk mengimbau kembali, pahit-getir dan pelbagai ranjau walau kurang berduri sebagai langkah muhasabah diri tentang perlunya kita saling mengingati sesama kita agar langkah yang semakin hampir tidak ditimpa sentuhan kecundang. Semoga dijauhi oleh Allah SWT.
Seperti yang sering diwar-warkan oleh Tok Penghulu kita, Saudara Noh Jaafar, kita semua adalah yang terbaik di antara yang terbaik dari kalangan mereka yang memohon untuk memasuki program ini. Dalam nada gurauan tetapi sinis, beliau sering mengingatkan kita betapa amat penting untuk mempertahankan malah mempertingkatkan tahap disiplin diri dalam semua aspek, lebih-lebih lagi sepanjang mengikuti program ini. Tentang masa, pakaian dan seumpamanya seringkali diulang-ulang dan sepatutnya bukan sesuatu yang payah bagi kita melaksanakannya sekurang-kurangnya untuk tempoh yang tidak seberapa ini.
Tidak perlu dan tidak layak bagi saya untuk memanjangkan isu ini kerana ianya mungkin hanya suatu 'retorik' dalam penulisan blog murahan sebegini. Namun begitu, saya mengingatkan diri sendiri tentang perkara-perkara tadi kerana tidak mahu nanti kerana seekor lalat, rosak bubur satu 'tray'.
Wallahu'aklam.